Wednesday 15 May 2013

Kepentingan Matematik




Apakah Matematik dan Kenapa Kita Perlu Matematik?

Matematik ialah suatu ilmu yang berkaitan dengan nombor. Nombor yang memberi nilai. Matematik menjadi asas kepada banyak bidang ilmu di dunia ini. Matematik juga boleh menerangkan fenomena semulajadi alam ini. Sebagai contoh, kejadian malam dan siang. Dalam memahami kejadian ini, para saintis menggunakan ilmu astronomi yang mana ilmu ini memerlukan matematik sebagai asas yang utama. Begitu juga kejadian pasang surut air, gerhana matahari, ribut taufan , banjir, semuanya menggunakan matematik untuk menerangkannya.

Cuba bayangkan hidup kita tanpa matematik. Kita tidak tahu apa itu matematik.Tidak tahu nombor, sukatan, dan berbagai-bagai lagi istilah matematik yang lain. Kita juga tidak tahu apa itu tolak, tambah, bahagi dan darab. Hidup kita seumpama manusia zaman purba yang tidak tahu menilai sesuatu benda.

Alangkah huru-haranya kita kalau tidak tahu matematik. Banyak perkara di dunia ini kita tidak dapat lakukan. Aktiviti rutin kita juga akan terganggu. Perkembangan ilmu seperti ilmu jurutera, senibina, perubatan, ekonomi dan sebagainya juga akan menghadapi jalan buntu.

Menyedari betapa pentingnya ilmu matematik maka perlulah kita menanamkan minat yang sewajarnya kepada matematik. Selain untuk diaplikasikan dalam kehidupan matematik juga merupakan satu senanam untuk minda kita supaya kita tidak jumud dan beku untuk berfikir. Syukur kerana Allah telah mengkurniakan kita akal fikiran yang amat sesuai sekali untuk kita gunakan bagi mempelajari ilmu matematik.

Ilmu matematik adalah berkaitan dengan minda manusia. Kebanyakan tokoh-tokoh yang banyak menyumbangkan kemodenan dan penemuan baru dan berguna kepada dunia adalah mereka yang mempunyai kepakaran yang tersendiri dalam matematik seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, dan Isaac Newton. Oleh sebab itulah, matematik seringkali dikaitkan dengan konsepsi pemikiran manusia iaitu matematik mempunyai hubungan yang rapat dengan minda manusia.

Orang yang mudah menguasai matematik biasanya seorang yang kreatif. Mereka berupaya menyelesaikan matematik yang susah dan mengelirukan berdasarkan pengetahuan dan kreativiti mereka. Boleh dikatakan matematik ialah satu seni yang diterbitkan daripada kreativiti, imaginasi seseorang hinggalah ia berkembang menjadi satu ilmu yang sangat berguna kepada manusia hingga ke zaman moden ini.

Betapa pentingnya matematik itu boleh kita lihat dalam kehidupan seharian kita. Kita guna matematik untuk membuat keputusan dan banyak perkara. Contohnya dalam membuat belanjawan. Kita akan memerlukan kemahiran dalam kira-kira asas matematik iaitu operasi tambah, tolak, darab dan bahagi. Kita perlu mengira berapa banyak wang yang kita akan keluarkan dengan menggunakan operasi tolak dan mengunakan operasi tambah bagi memasukkan pendapatan baru dalam belanjawan kita.

Dalam kehidupan seharian, kita tidak akan terlepas daripada membuat sukatan. Sukatan merupakan salah satu daripada cabang matematik. Terma-terma seperti meter, liter, persegi, kaki dan padu perlu dikuasai dengan berkesan. Barulah kita dapat melakukan sukatan dengan betul. Kita juga menggunakan sukatan untuk menyukat makanan, melaksanakan jual-beli dan menentukan isipadu barangan di kilang-kilang.

Kejuruteraan merupakan satu bidang ilmu yang sangat penting dewasa ini. Ia merupakan tunjak utama bidang perindustrian. Ia menjadi asas penghasilan teknologi baru dalam kehidupan kita. Jurutaralah yang mencipta alatan keperluan di rumah kita seperti mesin basuh, televisyen, radio, komputer, dan sebagainya. Untuk mencipta alatan seperti peti sejuk yang kita gunakan sekarang bukanlah sesuatu yang senang. Ia memerlukan pengetahuan yang tinggi dalam bidang kejuruteraan. Manakala bidang kejuruteraan pula memerlukan pengetahuan yang tinggi dalam ilmu fizik iaitu salah satu sub bidang ilmu sains yang sangat penting dalam kejuruteraan. Sebagaimana yang kita tahu ilmu fizik merupakan satu ilmu yang sangat memerlukan asas matematik yang kukuh. Perkembangan ilmu fizik adalah selari dengan ilmu matematik. Matematikyang menjadi tunjak utama dalam fizik. Ilmu fizik mengaplikasikan matematik peringkat tinggi yang memerlukan penguasaan yang kukuh dan jitu.

Contoh penggunaan matematik dalam kejuruteraan ialah penggunaan sudut dan trigonometri untuk mencipta suatu alatan, penggunaan pembezaan dan pengamiran dalam mengukur kelajuan cahaya dan elektrik. Begitu untuk mengukur amaun elektrik yang diperlukan untuk menjanakan sesustu alatan elektrik.

Bidang kedoktoran juga memerlukan matemetik. Sukatan dos ubat untuk sesuatu penyakit dikira dengan teliti mengunakan formula matematik. Sewaktu pembedahan ukuran untuk lakukan bedahan adalah dikira dengan teliti dengan menngunakan matematik.

Dalam bidang sains seperti kimia dan biologi juga memerlukan matematik. Dalam kimia matematik digunakan untuk mengira bilangan molekul dan unsur dalam sesuatu sebatian. Untuk mengira nombor jisim dan isotop juga memerlukan formula matematik.

Statistik juga memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita. Statistik digunakan untuk menyajikan data yang dikumpul daripada manusia supaya manusia dapat faham dan guna untuk buat keputusan dalam beberapa perkara yang penting dalam kehidupan kita. Statistik adalah sebahagian daripada matematik. Bidang ini menumpukan kepada pengiraan nilai-nilai unik dalam matematik seperti min, median dan mod untuk menggambarkan ciri-ciri sesuatu sampel atau populasi.

Matematik juga penting dalam perniagaan dan ekonomi. Matematik digunakan untuk menentukan untung, berapa keluaran yang perlu dikeluarkan, titik pulang modal, harga dan kuantiti keseimbangan dalam perniagaan dan ekonomi. 

7 comments: